Ahad, 12 Januari 2014

Waktu Baru Ko-kurikulum

Star Q

Dalam sekelip mata sahaja waktu kokurikulum untuk SMKTAR telah diubah lagi.  Selain daripada perubahan dalam struktur organisasi, beberapa persatuan juga turut dibubarkan tanpa pengetahuan pelajar yang pernah menjadi AJK.  Semua ahli persatuan yang telah dibubarkan berada dalam keadaan serba-salah kerana mereka dipaksa untuk menyertai kelab dan persatuan lain yang tidak mereka minati.  Tambahan pula, peluang mereka untuk memegang apa-apa jawatan dalam AJK hanya tinggal impian kerana mesyuarat agung telah dijalankan minggu lepas.

Seperti yang dimaklumkan dalam entri yang lalu, tahun ini waktu kokurikulum kelab dan persatuan serta badan beruniform dibuat sebelah pagi dan sukan/permainan dan 1M1S sebelah petang.  Tetapi pada perhimpunan rasmi pagi tadi, telah diumum yang sukan/permainan dan 1M1S akan diadakan pada pagi hari Khamis.  Ini adalah kerana didapati, ramai pelajar yang balik awal pada waktu kokurikulum sukan/permainan minggu lepas.  Walaupun ada kemungkinan besar pelajar-pelajar tersebut balik awak kerana mesyuarat agung mereka telah selesai, seperti mana pra-universiti di sini, tapi kemungkinan itu tidak dapat mengelakkan dari jadual baru kokurikulum dilaksanakan.  Apa kan daya, kami hanyalah mentimun dan pisau berada di tangan orang lain.

Berikut adalah jadual baru perlaksanaan kokurikulum

Kelab/Persatuan & Unit Beruniform (Rabu)
Sukan/Permainan /1M1S (Khamis)
Kokurikulum
Kelas
Kokurikulum
Kelas
Mula
Habis
Mula
Habis
Mula
Habis
Mula
Habis
7.40 pagi
9.00 pagi
9.00 pagi
3.20 ptg
7.40 pagi
9.00 pagi
9.00 pagi
4.00 ptg

Oleh kerana waktu PdP dianjakkan, beberapa perkara mungkin akan berlaku kesan daripada ini.

1.Pelajar yang telah rehat (menengah rendah pada 10.20 pagi dan menengah atas pada 11.00 pagi; selama 20 minit setiap satu) awal terpaksa menunggu lima jam atau lebih untuk makan tengahari.  Keadaan ini tidak sesuai untuk pelajar sekolah yang sedang membesar.  Ianya juga tidak baik untuk kesihatan pelajar.  Tidak mustahil akan berlaku kes pelajar makan dalam dalam sewaktu guru mengajar.

2.Berkait dengan perkara di atas, PdP yang diadakan pada waktu-waktu akhir hari Rabu dan Khamis akan menyebabkan pelajar rasa letih dan kurang tumpuan kerana telah terlalu lama berada di sekolah dan lapar; ditambah pula dengan keadaan waktu petang yang tidak kondusif untuk PdP.  Barang diingat, pelajar bukan berada dalam situasi berhawa dingin seperti pekerja pejabat.  Waktu yang lebih kondusif untuk PdP sebelah pagi telah dibazirkan semata-mata untuk kehadiran penuh dalam kokurikulum.  Nilai yang besar terpaksa dibayar untuk markah 10% kokurikulum ini.

3.Waktu solat Zohor bagi para pelajar Islam telah terabai dengan sengaja dilewat-lewatkan.  Apatah lagi pada hari Khamis dimana waktu habis kelas pada jam 4.00 petang itu sudah hampir benar dengan waktu solat Asar.  Memang benar pelajar boleh pulang untuk solat selepas jam 4.00 petang, tetapi kalau rumah pelajar jauh dan mengambil masa contohnya setengah jam, sudah tentu tidak ada lagi waktu Zohor.

4.Waktu petang sebenarnya adalah waktu yang sesuai untuk riadhah pelajar kerana mereka tidak lagi perlu memikirkan tentang pelajaran.  Tetapi dengan jadual kokurikulum baru ini, mereka terpaksa cepat bersedia untuk terus masuk ke kelas selepas bersukan.  Dengan keadaan mereka yang penat dan berpeluh sudah tentu PdP akan mengambil masa sebelum dapat dijalankan dengan sepenuhnya.

5.Dan kalaulah ada guru penasihat yang menamatkan kokurikulum mereka tepat pada masanya, iaitu jam 9.00 pagi, bilakah masa untuk pelajar yang kepenatan dan dahaga ini berehat?  Dan kalaulah untuk mengatasi masalah ini, waktu rehat mereka dicepatkan lagi, mereka terpaksa pula menunggu enam jam untuk makan tengahari.

6.Dimanakah hendak diselitkan waktu untuk kelas-kelas kecemerlangan bagi pelajar yang bakal menduduki peperiksaan.  Sebelum ini kelas kecemerlangan dijalankan pada hari-hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis.  Dengan adanya jadual balik lewat untuk hari Rabu dan Khamis, mungkinkah kelas-kelas kecemerlangan juga turut dilewatkan?  Kalaulah dibenarkan guru-guru yang mengajar kelas-kelas kecemerlangan dikecualikan dari kokurikulum untuk melaksanakan kelas seperti sebelum ini iaitu dari jam 3.00 hingga 4.30 petang, adakah ianya adil untuk guru-guru lain yang terus menjalankan kokurikulum?

Kokurikulum hanya mewakili 10% dari keseluruhan pencapaian seseorang pelajar.  Ianya harus dijalankan dengan mengambil kira minat dan kebolehan murid.  Adalah sangat malang apabila satu dasar yang sangat mudah sengaja disusahkan.

Note : Tulisan ini bertujuan untuk menyumbangkan sedikit pandangan yang tidak semestinya diterima pakai.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan