Star Q
Dari jam 7.40 pagi hingga 9.00 pagi 8hb Januari 2014, telah diadakan dua mesyuarat agung kokurikulum SMKTAR iaitu yang pertamanya untuk Unit Berniform diikuti pula dengan mesyuarat agung untuk kelab dan persatuan. Pada sebelah petang bermula jam 3.40 petang akan diadakan mesyuarat agung untuk IM1S diikuti pula dengan mesyuarat agung untuk sukan dan permainan.
Untuk pertama kalinya sejak sekolah ini wujud, waktu kokurikulum bagi unit beruniform dan kelab/persatuan akan diadakan sebelah pagi bermula jam 7.40 pagi hingga 9.00 pagi. Selesai kokurikulum (unit beruniform dan kelab/persatuan bergilir mengikut minggu) pelajar dan guru akan menyambung pengajaran dan pembelajaran sehingga jam 3.20 petang. Pelajar akan menyambung lagi kokurikulum sukan/permainan dan 1M1S dari 3.40 petang hingga 5.30 petang.
Walaupun pada dasarnya perubahan masa kokurikulum kesebelah pagi adalah baik untuk menggalakkan kehadiran 100% untuk kokurikulum, namun pembelajaran hingga waktu 3.20 petang sangat tidak selesa. Pertamanya kerana pelajar menengah rendah telah rehat/makan pada jam 10.20 pagi. Mereka terpaksa pula menunggu lima jam untuk makan tengahari. Kalau dilihat dari realiti, waktu 3.20 petang bukan lagi boleh dikategorikan sebagai 'makan tengahari'. Tambahan pula, waktu pembelajaran tengahari - petang yang sangat panjang dengan pra-sarana sekolah yang tidak selesa diburukkan lagi dengan keadaan pelajar yang sudah resah disebabkan kelaparan, sedikit sebanyak akan mengganggu konsentrasi mereka terhadap pelajaran. Juga, masa rehat dari 3.20 petang hingga 3.40 petang bukanlah jangka masa yang cukup untuk pelajar makan 'petang'. Apatah lagi pelajar yang Islam yang terpaksa terkejar-kejar untuk Solat Zuhor dan makan tengahari ditambah pula keadaan surau yang sudah tentunya tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai sekaligus.
Situasi pelajar sebenarnya tidak sama dengan guru yang boleh pergi makan tengahari bila mana ada waktu kelapangan. Guru-guru Islam juga boleh menunaikan Solat Zuhor dalam keadaan tenang, khusyuk dan tidak tergesa-gesa disebabkan ada waktu senggang dalam jadual mengajar mereka.
Walau demikian, tetap ada satu berita baik!. Atas keperihatinan pihak pentadbir di sana, SMK Gemas telah mengambil langkah bijak tahun ini dengan menukar waktu kokurikulum mereka kembali ke waktu petang setelah hanya setahun mencuba kokurikulum di waktu pagi.
Apa pun kita doakan yang terbaik untuk semua pelajar dan tenaga pengajar kita. Semoga kita dapat apa yang hendak kita kejar, sementara yang kita kendong terus berada dalam dakapan kita. Walaupun memang benar alah bisa tegal biasa, namun bila sudah sekali terkena bisa akan serik selamanya. Wallahu 'alam.
Nota : Entri ini diterbitkan pada pagi 8/1/14. Pada sebelah petang hari yang sama, telah dibuat pengumuman bahawa masa rehat aliran perdana dilanjutkan dari 3.40 petang kepada 4.00 petang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan