Sabtu, 8 Oktober 2011

Sayang Cikgu


Pada 7hb Oktober 2011 yang lalu telah diadakan majlis persaraan untuk Tn. Hj. Mazlan bin Abu Zaharin, Guru Penolong Kanan Akademik SMK Tuanku Abdul Rahman.  Beliau telah berkhidmat di sekolah ini lebih dari dua puluh tahun dan wajarlah sebuah majlis seperti ini diadakan untuk beliau.


Beberapa acara telah diadakan sempena majlis ini termasuklah beberapa buah persembahan oleh para pelajar tingkatan 6.  Paling istimewa, satu persembahan sajak berlagu yang ditujukan khusus kepada Tn. Hj. Mazlan yang telah disampaikan oleh kesemua pelajar dari kelas Tingkatan 6 Atas SKP.


Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama pelajar tingkatan 6 Atas SKP dan Tn. Hj. Mazlan, diikuti dengan sesi maaf-bermaafan sesama pelajar dan guru mereka yang bersara.  Begitu ketara sekali kesan yang ditinggalkan oleh Tn Hj Mazlan kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 beliau sehingga ada yang menitis air mata tidak dapat menahan rasa sebak.

Kami guru-guru tingkatan 6 bagi pihak para pelajar tingkatan 6 mendoakan agar Tn. Hj. Mazlan akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan oleh Allah s.w.t. dalam menjalani hidup sebagai seorang bekas guru yang telah banyak meninggalkan jasa.  Amin.