Selasa, 22 November 2011

Jangan Lupa Pengenalan Diri!

Jangan Lupa Bawa Pengenalan Diri!

Hari ini, 23hb November 2011, merupakan hari kedua Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia berlangsung.  Entri ini dibuat sebelah petang sewaktu kertas Bahasa Melayu 2 (Esei) baru sahaja setengah jam dimulakan.  Ketika ini penulis berada di sekolah sebagai guru bertugas pada sebelah petang dan akan berada di sini sehingga jam 4.30 petang.

Suka diingatkan kepada semua pelajar tingkatan enam yang menduduki peperiksaan ini agar tidak lupa membawa dokumen-dokumen penting sewaktu hadir untuk peperiksaan, termasuklah Kad Pengenalan dan Slip Peperiksaan.  Kebetulan petang ini seorang calon terlupa membawa Slip Peperiksaan beliau. 

Mujurlah Surat Pengesahan Pelajar yang perlu diambil di pejabat bagi menggantikan dokumen diri yang terlupa dibawa, sudah siap ditandatangani oleh pihak pentadbir.  Pelajar yang tidak atau terlupa membawa pengenalan diri hanya perlu mengisi ruang kosong yang berkenaan pada surat pengesahan tersebut.

Esok kumpulan pelajar yang sama pada hari ini akan mengambil Kertas Sejarah 1 (Tamadun Dunia hingga Tahun 1800) pula.  Kepada anda dan rakan-rakan lain, seperti selalu yang saya doakan, selamat berjaya.




Isnin, 21 November 2011

Jamuan Perpisahan PERTINAM


Perpisahan memang sesuatu yang menyedihkan, apa lagi setelah guru-guru tingkatan enam SMKTAR menjalinkan silatulrahim dengan para pelajar ambilan 2010/2011; hubungan yang erat sehinggakan boleh diibaratkan antara ibu-bapa dan anak-anak atau ada di antaranya antara adik-adik dan kakak.

Sebagai tanda memperingati hubungan itu maka PERTINAM 2010/2011 telah mengadakan satu jamuan perpisahan pada hari Selasa, 15hb November 2011, seminggu sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan mereka.

Kepada para guru dan pelajar tingkatan enam, maaflah kerana mengambil masa agak lama untuk memuat-naik acara ini kerana menantikan foto-foto jamuan perpisahan yang tidak kunjung menjelma.  Justeru sebelum terlupa, nukilan tentang majlis ini dituliskan jua walau pun sekadar dihias gambar cenderahati majlis tersebut yang dihadiahkan kepada semua yang hadir.

Terima kasih kepada para pelajar tingkatan enam ambilan 2010/2011.

Ahad, 20 November 2011

STPM 2011 : Semoga Beroleh Kejayaan!

Kertas Pengajian Am merupakan kertas pertama yang diambil oleh pelajar tingkatan enam kumpulan 2010/2011 hari ini, yang juga merupakan hari pertama peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang akan berjalan dari 21hb November 2011 hingga 14hb Disember 2011.  Seramai tujuh puluh empat pelajar kami menduduki peperiksaan ini yang merupakan satu lagi usaha yang harus mereka tempuhi untuk mendekatkan diri ke pengajian di menara gading.

Bagi kumpulan pelajar ini, walaupun mereka sebenarnya tidaklah banyak bezanya daripada pelajar-pelajar sebelum mereka, saya dengan yakin boleh mengatakan bahawa terlalu ramai orang yang menaruh harapan yang tinggi terhadap mereka.  Dari ibu-bapa mereka (tentu sekali) kepada guru-guru mereka (sudah pasti) hinggalah kepada bekas guru yang pernah mengajar mereka di sekolah lama mereka dahulu; semuanya menghimpun satu doa untuk mereka iaitu agar mereka berjaya dalam peperiksaan ini.

Saya secara peribadi sukar untuk mencari di mana letaknya aura para pelajar ini sehinggakan ramai guru mereka, boleh saya katakan, suka kepada mereka.  Jangan salah anggap pula kerana dalam kumpulan yang besar seperti mereka ini, sudah tentu ada seorang dua yang menjadi duri dalam daging yang sentiasa menyakitkan guru, mungkin sampai ada yang terluka!

Apa yang saya dapat lihat, para pelajar kumpulan 2010/2011 ini ada aura mereka sendiri yang sukar untuk dinafikan.  Cukup sekadar saya menyatakan yang kamu semua tahu apa yang saya maksudkan.  Dan juga, cukup sekadar doa yang saya dan guru-guru kamu yang lainnya pohon untuk kejayaan kamu semua.  Semoga segala usaha yang guru-guru dan kamu gembelingkan, beroleh keberkatan, Insya Allah.


Jumaat, 4 November 2011

Merenung Bintang!


Tidak ramai yang mendapat peluang untuk menggunakan teleskop untuk menjejak bintang-bintang yang bertaburan di langit yang luas.  Peluang yang datang untuk menyertai Seminar Star-Gazing Peringkat Kebangsaan di SBP Integrasi Jempol pada 3hb November 2011 tidak dilepaskan begitu sahaja.

Empat orang pelajar Tingkatan 6 termasuklah Syazlan Mohd Aris dan Sulaiman Abdul Rahman, telah menyertai seminar itu dengan diiringi oleh guru Geografi Tingkatan 6 yang sangat dedikasi, Pn Norasyikin Mohd Aris.  

Walaupun program tersebut tidak sedikit pun dibiayai oleh pihak sekolah, Pn Norasyikin dengan inisiatifnya sendiri telah membawa pelajar-pelajar berkenaan dengan menggunakan kereta beliau sendiri dengan biaya sendiri.  Tahniah kepada beliau kerana telah membolehkan keempat-empat pelajar tersebut memperolehi peluang untuk meningkatkan jumlah markah kokurikulum mereka dengan adanya aktiviti peringkat kebangsaan ini.  Tahniah sekali lagi.

Sabtu, 8 Oktober 2011

Sayang Cikgu


Pada 7hb Oktober 2011 yang lalu telah diadakan majlis persaraan untuk Tn. Hj. Mazlan bin Abu Zaharin, Guru Penolong Kanan Akademik SMK Tuanku Abdul Rahman.  Beliau telah berkhidmat di sekolah ini lebih dari dua puluh tahun dan wajarlah sebuah majlis seperti ini diadakan untuk beliau.


Beberapa acara telah diadakan sempena majlis ini termasuklah beberapa buah persembahan oleh para pelajar tingkatan 6.  Paling istimewa, satu persembahan sajak berlagu yang ditujukan khusus kepada Tn. Hj. Mazlan yang telah disampaikan oleh kesemua pelajar dari kelas Tingkatan 6 Atas SKP.


Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama pelajar tingkatan 6 Atas SKP dan Tn. Hj. Mazlan, diikuti dengan sesi maaf-bermaafan sesama pelajar dan guru mereka yang bersara.  Begitu ketara sekali kesan yang ditinggalkan oleh Tn Hj Mazlan kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 beliau sehingga ada yang menitis air mata tidak dapat menahan rasa sebak.

Kami guru-guru tingkatan 6 bagi pihak para pelajar tingkatan 6 mendoakan agar Tn. Hj. Mazlan akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan oleh Allah s.w.t. dalam menjalani hidup sebagai seorang bekas guru yang telah banyak meninggalkan jasa.  Amin.


Khamis, 29 September 2011

Pertandingan Melukis Banner


Kesibukan yang telah mengambil sebahagian besar masa penulis, telah menyebabkan banyak aktiviti pelajar tingkatan 6 tidak dapat dirakam dalam blog ini.  Justeru itu, penulis mohon maaf kepada mana-mana pelajar tingkatan 6 di mana aktiviti yang telah mereka sertai tidak diabadikan dalam ruangan ini.


Pada 7hb September 2011, beberap orang pelajar tingkatan 6 telah mengambil bahagian dalam pertandingan Melukis Banner dalam Bahasa Inggeris yang diadakan sempena minggu Pendidikan Seni Visual.  Sememangnya pelajar telah menggunakan kesempatan ini untuk meluahkan bakat seni dan juga sifat keanak-anakan mereka dengan begitu terserlah sekali.


Beberapa orang guru jugak tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam Pertandingan Mewarna yang telah diadakan khas untuk mereka.  Tahniah kepada guru-guru ini yang bukan sahaja mempamerkan bakat mereka tetapi tidak segan untuk berada dalam kalangan pelajar untuk sama-sama menjayakan minggu tersebut.



Khamis, 14 Julai 2011

Taklimat Kajian Tindakan Bhgn 1

Pelajar Tingkatan 6 Bawah mendengar taklimat R&D

Pada 6hb Julai empat orang guru Tingkatan 6 SMKTAR telah menghadiri Kursus Profesionalisme untuk guru-guru T6 bagi menambah dan memantapkan pengetahuan mereka tentang Folio-folio yang perlu disediakan oleh mereka, termasuklah Folio Kajian Tindakan.

Sehubungan dengan itu, Pn. Norasyikin Mohd Aris yang merupakan salah seorang guru yang telah menghadiri kursus tersebut telah mengambil inisiatif untuk memberi taklimat tentang Asas-asas Kajian Tindakan kepada para pelajar Tingkatan 6 Bawah pada jam 9.40 pagi 13hb Julai 2011, sebelum mereka mula membuat Proposal.

Bahagian kedua taklimat ini akan diadakan pada masa yang sama minggu hadapan pada 20hb Julai 2011.

Rabu, 13 Julai 2011

Karnival Bahasa Inggeris 2011

Button untuk AJK Karnival Bahasa Inggeris!

Setelah lebih sebulan merancang, akhirnya terlaksanalah program Karnival Bahasa Inggeris 2011 yang julung-julung kalinya diadakan.  Program yang dijalankan pada tarikh 13hb Julai 2011 ini juga, buat pertama kalinya menyaksikan ianya sepenuhnya dikelolakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan 6 Atas terutamanya Tingkatan 6 Atas SKP.

Movie and Quiz

Para pelajar tersebut telah diberi penerangan tentang aktiviti-aktiviti yang boleh dijalankan dan jangka masanya sekali.  Pelajar yang telah dibahagikan mengikut aktiviti-aktiviti tersebut telah diberi ruang untuk menggunakan kreativiti mereka untuk mencipta iklan yang sesuai untuk memaklumkan program ini ke seluruh warga sekolah.

Spell-It-Well

Mereka juga telah diberi tanggung-jawab untuk memikirkan cara bagaimana dan di lokasi mana aktiviti-aktiviti tersebut boleh dijalankan.  Segala perkara yang perlu telah diuruskan dengan baik dan dengan semangat kerja berkumpulan termasuklah dari aspek mendapatkan peralatan pembesar suara, projektor, bilik khas, membeli barang-barang yang diperlukan hingga lah kepada memilih dan membungkus hadiah untuk para pemenang.

Riddles

Program ini pada dasarnya dijalankan pada hari Rabu sebagai aktiviti kokurikulum dan terbuka kepada seluruh warga pelajar SMKTAR.  Enam aktiviti telah dijalankan dalam program Karnival Bahasa Inggeris ini iaitu 'Movie and Quiz', 'Spell-It-Well', 'Riddles', 'Crossword Puzzle', 'ELS Race' dan 'Treasure Hunt'.

Crossword Puzzle

Syabas diucapkan kepada pelajar tingkatan enam, khususnya pelajar Tingkatan 6 Atas SKP di atas usaha serta penat-lelah mereka dalam menjayakan program yang belum pernah diadakan di sekolah ini.  Di harap program ini telah dapat membuka mata warga sekolah tentang potensi yang dimilikki oleh sebahagian besar pelajar tingkatan enam SMKTAR. 




Sabtu, 9 Julai 2011

Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia


Semua sekolah di seluruh negara telah diarahkan agar menjalankan aktiviti Larian 1Murid 1Sukan 1Malaysia serentak pada hari Sabtu 2hb Julai 2011 yang lalu.  Acara yang bermula pukul 6.30 pagi itu didahului dengan mengambil kedatangan pelajar diikuti dengan perutusan secara langsung Timbalan Perdana Menteri.  Selepas itu pelajar Tingkatan 6 Atas telah naik ke pentas dan memimpin pelajar dalam acara memanaskan badan.


Seluruh warga sekolah mengambil bahagian dengan mengikuti laluan ke Taman Rekreasi Gemas dan balik semula ke Dewan Al Ghazali.  Selepas rehat selama setengah jam, aktiviti-aktiviti sukan dan permainan yang melibatkan guru dan pelajar pun berlangsung.  Sekolah telah tamat pada jam 12.30 tengahari.



Jumaat, 8 Julai 2011

Kejohanan Olahraga 2011


Kejohanan Olahraga SMK Tuanku Abdul Rahman 2011 telah diadakan pada 6hb Julai 2011 bermula dari jam 2.30 petang.  Pelajar Tingkatan 6, yang kebanyakan daripada mereka telah melepasi usia 18 tahun, tidak layak untuk menyertai sebarang acara olahraga yang diadakan.  Jadi, hampir kesemua mereka telah dipilih dan dilantik sebagai Pegawai Teknik untuk kejohanan ini.


Namun demikian, Setiausaha Kejohanan kali ini telah mengadakan satu acara khas yang dapat disertai oleh pelajar Tingkatan 6 ia itu acara larian 4 x 400 meter.  Tugas mencari peserta telah diberikan kepada Faez Mazalan (atau yang saya panggil Uda sahaja!).  Daripada 4 pasukan yang diminta oleh Setiausaha Kejohanan, Uda hanya berjaya mendapatkan 3 pasukan sahaja. 

Pun begitu, pujian harus diberikan kepada semua pelajar Tingkatan 6 yang mengambil bahagian dalam acara larian itu.  Begitu juga kepada pelajar Tingkatan 6 yang telah bertugas dengan baik sebagai Pegawai Teknik dan tidak lupa Uda sendiri.

Berniaga pada Hari Koperasi


Tahun ini, pada 28hb Jun 2011, nampaknya ada sebilangan kecil pelajar Tingkatan 6 Atas yang telah menunjukkan minat untuk membuka gerai sempena sambutan Hari Koperasi peringkat sekolah.  Walaupun pada realitinya para pelajar yang berminat adalah pelajar yang sama yang melibatkan diri dalam banyak aktiviti Tingkatan 6, namun kerja sepasukan mereka sangat baik.


Para pelajar ini telah menjana modal untuk perniagaan gerai mereka dengan mengumpul wang dari kalangan mereka sendiri.  Antara makanan yang dijual di gerai mereka termasuk lah buah-buahan, dadih dan kek epal.  Kek epal ini telah disumbangkan oleh salah seorang guru Tingkatan 6 sendiri, dengan segala keuntungan dari jualan kek tersebut dimasukkan ke dalam dana pelajar Tingkatan 6.



Diharapkan pada sambutan Hari Koperasi tahun hadapan, akan lebih ramai lah pelajar Tingkatan 6 yang turut terlibat menjayakan jualan di gerai mereka sendiri.  Walau pun kita pasti ada se kumpulan kecil pelajar yang akan menawarkan khidmat mereka, namum pelajar Tingkatan 6 yang lain diharapkan tidak lepas tangan begitu sahaja.

Seri Costa


Tahun ini, Seri Costa Melaka telah menjadi pilihan untuk menganjurkan program motivasi untuk para pelajar Tingkatan 6, bukan sahaja untuk pelajar SMK Tuanku Abdul Rahman, tetapi juga untuk pelajar Tingkatan 6 lain termasuk dari sekolah SMK Dato Mohd Taha, Gemencheh dan SMK Tunku Besar, Tampin.


Selama empat hari tiga malam, dari 6hb Jun 2011 hingga 9hb Jun 2011, para pelajar telah diberikan motivasi dan pendedahan tentang teknik-teknik menjawab soalan subjek terpilih yang akan mereka ambil untuk peperiksaan STPM mereka nanti.



Seperti program-program bina semangat yang lain, adalah diharapkan agar semua pelajar Tingkatan 6, khususnya pelajar SMK Tuanku Abdul Rahman, telah mendapat munafaat dari program yang dianjurkan.

Lawatan ke Parlimen 2011


Pada 22hb Jun yang lalu, seperti tahun-tahun sebelumnya, Tingkatan 6 Atas telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Parlimen Malaysia, berserta dengan 10 orang guru.  Rombongan Tingkatan 6 Atas ini telah tiba di destinasi  pada jam 10.30 pagi.  Selesai lawatan ke Parlimen rombongan kami telah dijemput oleh Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato' Shaziman ke pejabat beliau berhampiran Bank Negara.


Setibanya rombongan kami di pehabat Yang Berhormat Dato', kami telah disambut oleh Setiausaha Sulit beliau.  Satu jamuan makan rasmi telah diadakan untuk kami.  Walau pun Yang Berhormat Dato' tidak dapat bersama kami pada jamuan makan tengahari itu, namun kehadiran kami turut disertai oleh Setiausaha Sulit dan Setiausaha Politik beliau.



Para pelajar tingkatan 6 Atas tidak melepaskan peluang menikmati hidangan yang telah disediakan.  Lauk-pauk yang disediakan memang enak-enak belaka, termasuklah daging salai masak lemak cili api, kerabu mangga dan sambal tumis udang dengan petai.  Memang menyelerakan.  Terima kasih yang tidak terhingga dari kami kepada Yang Berhormat Dato'.



Selepas itu, rombongan kami telah ke Universiti Kebangsaan Malaysia di mana kami telah disambut oleh Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan atau PERMANIS.  Kami telah dibawa berjalan melawat sekitar kampus serta melawat melawat Makmal Coklat.  Lawatan ini diharap menjadikan para pelajar Tingkatan 6 lebih bersemangat belajar untuk menjejakkan kami ke menara gading, mungkin termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia sendiri.


Isnin, 6 Jun 2011

Draf Pertama : Buletin Pra-U


Memang sudah lama saya bercadang untuk meuar-uarkan aktiviti pelajar Tingkatan 6 di SMK Tuanku Abdul Rahman, khususnya tentang aktiviti ko-kurikulum mereka, melalui Buletin yang khas untuk Pra-U.  Ini merupakan percubaan pertama dan sebelum edisi atau keluaran pertama ini diterbitkan dalam keluaran terhad, dimuatnaikkan terlebih dahulu draf buletin tersebut. 

Cadangan asal ialah untuk menerbitkan buletin ini dua bulan sekali dan setiap edisi terkandung dalam empat muka surat sahaja.  Namun, sekiranya ada banyak aktiviti untuk bulan tertentu, maka penerbitan sebulan sekali akan dipertimbangkan.  Tapi, yang pasti untuk bulan November dan Disember tidak akan ada edisi atau pun mungkin akan digabungkan dalam edisi bulan Januari.

Apa-apa pun, saya hanya merancang tetapi Allah yang menentukan segalanya.  Sekiranya semua berjalan lancar, maka akan tercapailah seperti yang dirancang, Insya Allah.

Selasa, 31 Mei 2011

Perkhemahan Pengakap SRK Pasir Besar


Sekolah Rendah Pasir Besar telah mengadakan perkhemahan untuk pasukan Pengakap dari 27hb Mei 2011 hingga 29hb Mei 2011, ia itu sebaik sahaja cuti persekolahan semester pertama bermula.


Guru Penasihat Pengakap untuk sekolah tersebut telah meminta jasa baik Pengakap Kelana SMK Tuanku Abdul Rahman untuk menjadi fasilitator dan membantu dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti semasa perkhemahan tersebut.


Pn Norasyikin bt Mohd Aris yang merupakan guru penasihat Pengakap Kelana untuk tingkatan 6 di SMK Tuanku Abdul Rahman telah bertindak menyelia dan menyelaraskan penglibatan Pengakap Kelana Tingkatan 6 tersebut, termasuklah dari segi pengangkutan, makanan dan surat kebenaran penjaga.



Berdasarkan gambar-gambar yang tertera dalam laman ini, jelas sekali bukan sahaja murid-murid SRK Pasir Besar yang telah mendapat menafaat dari perkhemahan tersebut, malah Pengkap Kelana Tingkatan 6 SMKTAR juga turut melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

Tahniah kepada Pn Norasyikin, pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang telah menjadi fasilitator dalam perkhemahan dan tidak lupa juga terima kasih kepada guru penasihat Pengakap SRK  Pasir Besar kerana turut melibatkan pelajar kami.

Ahad, 22 Mei 2011

Pesta Muzik Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan 2011


SMK Tuanku Abdul Rahman sekali lagi dipilih untuk menjadi tuan rumah dan mengelolakan satu acara yang besar ia itu Pesta Muzik Sekolah-sekolah (Rendah dan Menengah) Negeri Sembilan 2011.  Satu tugasan yang amat besar selain baru-baru ini telah menjadi tuan rumah untuk beberapa acara peringkat daerah.


Pesta Muzik yang telah dijalankan selama dua hari dari 18hb Mei 2011 hingga 19hb Mei 2011 telah secara tidak langsung berjaya meletakkan SMK Tuanku Abdul Rahman setaraf dengan sekolah-sekolah lain khususnya dalam penganjuran aktiviti berskala besar seperti ini.



Adalah mustahil untuk sesebuah sekolah mengendalikan acara sebesar ini tanpa penglibatan semua pihak yang berada di sekolah samada dari kalangan guru atau staf sokongan, dan tidak ketinggalan dari kalangan pelajar Tingkatan 6 juga.



Saya, secara peribadi, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelajar Tingkatan 6 yang telah sama-sama bertungkus-lumus untuk menjayakan program yang sebegini besar.  Jasa anda tetap akan dikenang.  Insya Allah sijil akan menyusul.


Selasa, 17 Mei 2011

Hari Guru SMKTAR



Seperti semua sekolah di Malaysia, malah di dunia mungkin, SMK Tuanku Abdul Rahman turut meraikan guru-gurunya dalam sambutan Hari Guru 2011 pada tanggal 16hb Mei baru-baru ini. Walau pun video yang dilampirkan ini bukanlah video sambutan Hari Guru tahun ini, namun ia mungkin dapat memberikan gambaran suasana sekolah SMKTAR kepada pengunjung blog ini. Video ini telah dimuatnaikkan ke Youtube oleh salah seorang guru Tingkatan 6 SMKTAR iaitu Pn. Norasyikin bt Aris, yang sememangnya sangat aktif dalam bidang ini termasuk fotografi. Kepada pengunjung blog ini, nikmatilah video yang dihasilkan oleh beliau.

Selasa, 10 Mei 2011

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011

Pelajar 6SKP (Atas) sedang tekun menjawab

Pada 10hb Mei 2011, para pelajar Tingkatan 6 Atas mula menduduki peperiksaan pertengahan tahun.  Hari pertama peperiksaan dimulakan dengan kertas Pengajian Am kertas 1.  Sepatutnya, peperiksaan ini telah pun dimulakan pada hari sebelumnya iaitu, 9hb Mei 2011.  Namun, ianya terpaksa ditunda sehari kerana pada hari tersebut pelajar Tingkatan 6 Rendah mula mendaftarkan diri di sekolah ini untuk pertama kali.

Peperiksaan pertengahan tahun yang sedang diduduki oleh pelajar Tingkatan 6 Atas ini, dan akan berakhir pada hari Jumaat ini, seharusnya dapat dijadikan kayu pengukur oleh para pelajar untuk meletakkan sasaran dalam peperiksaan percubaan STPM mereka yang kemungkinan besar akan diadakan pada bulan September nanti, sekali gus membolehkan mereka melipatgandakan usaha untuk mendapat keputusan STPM yang terbaik.

Apa pun, para guru tidak lupa mendoakan agar semua pelajar tingkatan 6 atas ini berjaya.  Jadi berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan itu.

Isnin, 9 Mei 2011

Form 6 - 2011/2012! Welcome to STAR!


Hari ini merupakan hari pertama pelajar-pelajar baru tingkatan 6 mendaftarkan diri untuk sesi persekolahan 2011/2011.  Gambar di atas menunjukkan guru-guru yang bertugas semasa pendaftaran yang dijalankan pada jam 9.00 pagi, 9hb Mei 2011.  Guru-guru yang bertugas termasuklah Pn Zaini bt Mohd Yusop, Pn Siti Helena binti Malawi dan Pn Hjh. Mariya bt Ismaon.


Mengikut makluman terkini dari pihak Kaunseling SMK Tuanku Abdul Rahman, seramai 62 orang telah mendaftar untuk memasukki tingkatan 6.  Jumlah ini adalah kurang dari lima puluh peratus bilangan pelajar yang nama mereka disenaraikan ke SMK Tuanku Abdul Rahman.  Angka yang dikirimkan oleh JPNS ialah seramai 200 orang.


Para pelajar yang mendaftar diminta membawa salinan-salinan sijil mereka, termasuklah sijil keputusan SPM dan sijil Kokurikulum mereka sewaktu tingkatan 5.


Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman semasa mengalu-alukan kedatangan pelajar baru tingkatan 6, mengingkan mereka bahawa, walaupun mereka asalnya pelajar SMK Gemas, SMK Bukit Jalor, SMK Pasir Besar atau pun SMK Jelai (Felda), mereka kini harus merasa bangga dan menganggap diri mereka kini sebagai pelajar SMK Tuanku Abdul Rahman.

Untuk mereka, sekali selamat datang ke STAR dan semoga anda memberi sumbangan bermakna ke sekolah anda dan akan berjaya di dalam apa yang anda cita-citakan, khususnya STPM yang akan anda duduki tahun hadapan!

Jumaat, 29 April 2011

Kem Kepimpinan


Pada 9hb April 2011 yang lalu, seramai empat orang pelajar Tingkatan 6 SMK Tuanku Abdul Rahman telah menyertai Kem Kepimpinan khusus untuk pelajar tingkatan 6 yang telah di adakan di Sekolah Menengah King George ke V, Seremban, Negeri Sembilan.


Oleh kerana pihak penganjur hanya menyediakan tempat untuk empat orang pelajar bagi setiap sekolah yang ingin mengambil bahagian, pemilihan terpaksa dibuat berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.  Setelah pengumuman tentang kem ini dibuat, 2 orang pelajar dari 6SKP, 1 orang dari 6GEP dan 1 orang dari 6SBP telah terpilih.



Oleh kerana kem ini diadakan pada hari Sabtu yang merupakan hari sekolah ganti untuk cuti Deepavali nanti, maka pihak pentadbir sekolah hanya membenarkan seorang sahaja menyertai pelajar sebagai guru pengiring.  Pn. Marshida bt Abdul Rahman telah bertindak sebagai guru pengiring kerana kebetulan dalam program kem kepimpinan tersebut terdapat satu 'slot' untuk guru 'Kajian Tindakan' sekolah-sekolah yang menyertai.

Rabu, 27 April 2011

Seminggu Selepas Tiada Ko-Kurikulum

Pn. Hjh. Mariya menunggu ahli Pengakap

Setelah aktiviti ko-kurikulum dibatalkan atas arahan Guru Penolong Kanan Tingkatan 6 pada minggu lepas, aktiviti-aktiviti berkaitan diteruskan lagi pada minggu ini.  Aktiviti seperti biasa, dimulakan dengan aktiviti Unit Beruniform.  Mungkin kerana faktor cuaca atau setelah direhatkan pada minggu lepas, para pelajar agak lewat untuk menyertai aktiviti yang sepatutnya bermula pada pukul 2.30 petang.  Namun, walaupun waktu telah menunjukkan pukul 3.00 petang, ini lah bilangan ahli Pengakap yang ada pada ketika itu, sambil dinantikan oleh guru penasihat, Pn. Hjh Mariya bt Ismaon.

Pn. Zaini mengendalikan aktiviti Senamrobik

Memandangkan bilangan kehadiran yang kecil disebabkan ketidak-hadiran beberapa orang pelajar dan juga pada masa yang sama Pn Zubaidah bt Mohd Said menjalankan Pertandingan Catur Terbuka Pusingan kedua, maka Pn. Zaini bt Yusop mencadangkan agar, untuk aktiviti Sukan dan Permainan digabungkan semua pelajar untuk menjalankan aktiviti senamrobik.


Pelajar lelaki pun turut serta!

Walau pun pada mulanya para pelajar agak malu melakukan aktiviti senamrobik, namun setelah ada beberapa orang pelajar yang mulakan, maka pelajar lain dengan spontan turut serta.  Tahniah kepada Pn. Zaini kerana berjaya mengadakan aktiviti senamrobik.  Lain kali boleh adakan lagi, dan kita libatkan sekali guru-guru Tingkatan 6.