Ahad, 20 November 2011

STPM 2011 : Semoga Beroleh Kejayaan!

Kertas Pengajian Am merupakan kertas pertama yang diambil oleh pelajar tingkatan enam kumpulan 2010/2011 hari ini, yang juga merupakan hari pertama peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang akan berjalan dari 21hb November 2011 hingga 14hb Disember 2011.  Seramai tujuh puluh empat pelajar kami menduduki peperiksaan ini yang merupakan satu lagi usaha yang harus mereka tempuhi untuk mendekatkan diri ke pengajian di menara gading.

Bagi kumpulan pelajar ini, walaupun mereka sebenarnya tidaklah banyak bezanya daripada pelajar-pelajar sebelum mereka, saya dengan yakin boleh mengatakan bahawa terlalu ramai orang yang menaruh harapan yang tinggi terhadap mereka.  Dari ibu-bapa mereka (tentu sekali) kepada guru-guru mereka (sudah pasti) hinggalah kepada bekas guru yang pernah mengajar mereka di sekolah lama mereka dahulu; semuanya menghimpun satu doa untuk mereka iaitu agar mereka berjaya dalam peperiksaan ini.

Saya secara peribadi sukar untuk mencari di mana letaknya aura para pelajar ini sehinggakan ramai guru mereka, boleh saya katakan, suka kepada mereka.  Jangan salah anggap pula kerana dalam kumpulan yang besar seperti mereka ini, sudah tentu ada seorang dua yang menjadi duri dalam daging yang sentiasa menyakitkan guru, mungkin sampai ada yang terluka!

Apa yang saya dapat lihat, para pelajar kumpulan 2010/2011 ini ada aura mereka sendiri yang sukar untuk dinafikan.  Cukup sekadar saya menyatakan yang kamu semua tahu apa yang saya maksudkan.  Dan juga, cukup sekadar doa yang saya dan guru-guru kamu yang lainnya pohon untuk kejayaan kamu semua.  Semoga segala usaha yang guru-guru dan kamu gembelingkan, beroleh keberkatan, Insya Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan