Rabu, 7 Mac 2012

Keputusan STPM 2011 : Semuanya Terungkai!


Se Kilas Pandang

Setelah lama berdebar-debar menanti tarikh keramat diumumkan keputusan STPM 2011 (macam budak-budak yang menduduki peperiksaan pula!), hari ini, 7hb Mac 2012, segala-galanya terungkai sudah.  Tiga meja telah diletakkan di Dewan Terbuka dengan tiga orang guru bertugas untuk menyerahkan keputusan kepada para calon.

Penulis mempunyai jadual harian yang sangat padat ini, sehinggalah ke waktu yang terakhir.  Namun oleh kerana semangat ingin bertemu dengan semua bekas pelajar Tingkatan 6 2010/2011 begitu membara, niat untuk balik sebaik sahaja loceng sekolah berbunyi jam 2.00 petang, telah dibatalkan.  Dengan kaki yang penat tetapi hati yang berbunga-bunga rindukan para pelajar yang pernah diajar dan pernah dikebali, penulis pergi juga ke Dewan Terbuka tersebut.

Biasalah bila pelajar terima keputusan.  Masing-masing leka dengan banyak perkara yang perlu diselesaikan.  Memang mereka semua kelihatan sibuk sampaikan langsung tidak ada kesempatan menegur dan menyapa bekas guru mereka yang ternanti-nanti dihampiri dengan wajah kegembiraan mereka.  Namun dalam masa lima belas minit duduk di situ, dan begitu ramai yang lalu-lalang di hadapan, tepi dan belakang penulis, tidak ada seorang pun yang menegur.

Cuma insan seorang ini sahajalah yang sudi menegur bekas gurunya.  Besar sungguh rasa hati tua ini bila ditegur oleh bekas pelajarnya.  Begitu terujanya dia sampaikan dia meminta gambarnya bersama bekas pelajar itu diabadikan.  Terima kasih Munirah binti Khasim (yang mendapat keputusan 3.50) kerana masih ingat cikgu.  Seorang pun sudah cukup untuk mewakil tujuh puluh tiga orang yang lain.

Apa pun pada yang lain, doa terbaik tetap untuk anda semua.  Bagi yang tidak sempat bertemu doa tetap mengiringi perjalanan anda semua ke menara gading.  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan