Selasa, 22 November 2011

Jangan Lupa Pengenalan Diri!

Jangan Lupa Bawa Pengenalan Diri!

Hari ini, 23hb November 2011, merupakan hari kedua Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia berlangsung.  Entri ini dibuat sebelah petang sewaktu kertas Bahasa Melayu 2 (Esei) baru sahaja setengah jam dimulakan.  Ketika ini penulis berada di sekolah sebagai guru bertugas pada sebelah petang dan akan berada di sini sehingga jam 4.30 petang.

Suka diingatkan kepada semua pelajar tingkatan enam yang menduduki peperiksaan ini agar tidak lupa membawa dokumen-dokumen penting sewaktu hadir untuk peperiksaan, termasuklah Kad Pengenalan dan Slip Peperiksaan.  Kebetulan petang ini seorang calon terlupa membawa Slip Peperiksaan beliau. 

Mujurlah Surat Pengesahan Pelajar yang perlu diambil di pejabat bagi menggantikan dokumen diri yang terlupa dibawa, sudah siap ditandatangani oleh pihak pentadbir.  Pelajar yang tidak atau terlupa membawa pengenalan diri hanya perlu mengisi ruang kosong yang berkenaan pada surat pengesahan tersebut.

Esok kumpulan pelajar yang sama pada hari ini akan mengambil Kertas Sejarah 1 (Tamadun Dunia hingga Tahun 1800) pula.  Kepada anda dan rakan-rakan lain, seperti selalu yang saya doakan, selamat berjaya.




Isnin, 21 November 2011

Jamuan Perpisahan PERTINAM


Perpisahan memang sesuatu yang menyedihkan, apa lagi setelah guru-guru tingkatan enam SMKTAR menjalinkan silatulrahim dengan para pelajar ambilan 2010/2011; hubungan yang erat sehinggakan boleh diibaratkan antara ibu-bapa dan anak-anak atau ada di antaranya antara adik-adik dan kakak.

Sebagai tanda memperingati hubungan itu maka PERTINAM 2010/2011 telah mengadakan satu jamuan perpisahan pada hari Selasa, 15hb November 2011, seminggu sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan mereka.

Kepada para guru dan pelajar tingkatan enam, maaflah kerana mengambil masa agak lama untuk memuat-naik acara ini kerana menantikan foto-foto jamuan perpisahan yang tidak kunjung menjelma.  Justeru sebelum terlupa, nukilan tentang majlis ini dituliskan jua walau pun sekadar dihias gambar cenderahati majlis tersebut yang dihadiahkan kepada semua yang hadir.

Terima kasih kepada para pelajar tingkatan enam ambilan 2010/2011.

Ahad, 20 November 2011

STPM 2011 : Semoga Beroleh Kejayaan!

Kertas Pengajian Am merupakan kertas pertama yang diambil oleh pelajar tingkatan enam kumpulan 2010/2011 hari ini, yang juga merupakan hari pertama peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang akan berjalan dari 21hb November 2011 hingga 14hb Disember 2011.  Seramai tujuh puluh empat pelajar kami menduduki peperiksaan ini yang merupakan satu lagi usaha yang harus mereka tempuhi untuk mendekatkan diri ke pengajian di menara gading.

Bagi kumpulan pelajar ini, walaupun mereka sebenarnya tidaklah banyak bezanya daripada pelajar-pelajar sebelum mereka, saya dengan yakin boleh mengatakan bahawa terlalu ramai orang yang menaruh harapan yang tinggi terhadap mereka.  Dari ibu-bapa mereka (tentu sekali) kepada guru-guru mereka (sudah pasti) hinggalah kepada bekas guru yang pernah mengajar mereka di sekolah lama mereka dahulu; semuanya menghimpun satu doa untuk mereka iaitu agar mereka berjaya dalam peperiksaan ini.

Saya secara peribadi sukar untuk mencari di mana letaknya aura para pelajar ini sehinggakan ramai guru mereka, boleh saya katakan, suka kepada mereka.  Jangan salah anggap pula kerana dalam kumpulan yang besar seperti mereka ini, sudah tentu ada seorang dua yang menjadi duri dalam daging yang sentiasa menyakitkan guru, mungkin sampai ada yang terluka!

Apa yang saya dapat lihat, para pelajar kumpulan 2010/2011 ini ada aura mereka sendiri yang sukar untuk dinafikan.  Cukup sekadar saya menyatakan yang kamu semua tahu apa yang saya maksudkan.  Dan juga, cukup sekadar doa yang saya dan guru-guru kamu yang lainnya pohon untuk kejayaan kamu semua.  Semoga segala usaha yang guru-guru dan kamu gembelingkan, beroleh keberkatan, Insya Allah.


Jumaat, 4 November 2011

Merenung Bintang!


Tidak ramai yang mendapat peluang untuk menggunakan teleskop untuk menjejak bintang-bintang yang bertaburan di langit yang luas.  Peluang yang datang untuk menyertai Seminar Star-Gazing Peringkat Kebangsaan di SBP Integrasi Jempol pada 3hb November 2011 tidak dilepaskan begitu sahaja.

Empat orang pelajar Tingkatan 6 termasuklah Syazlan Mohd Aris dan Sulaiman Abdul Rahman, telah menyertai seminar itu dengan diiringi oleh guru Geografi Tingkatan 6 yang sangat dedikasi, Pn Norasyikin Mohd Aris.  

Walaupun program tersebut tidak sedikit pun dibiayai oleh pihak sekolah, Pn Norasyikin dengan inisiatifnya sendiri telah membawa pelajar-pelajar berkenaan dengan menggunakan kereta beliau sendiri dengan biaya sendiri.  Tahniah kepada beliau kerana telah membolehkan keempat-empat pelajar tersebut memperolehi peluang untuk meningkatkan jumlah markah kokurikulum mereka dengan adanya aktiviti peringkat kebangsaan ini.  Tahniah sekali lagi.