Sabtu, 3 Mac 2012

Merentas Desa 2012


Buat kesekian kalinya SMKTAR telah menganjurkan acara Larian Merentas Desa Tahunan, kali ini telah diadakan pada 3hb Mac 2012.  Hari Sabtu tersebut merupakan hari sekolah ganti untuk cuti yang telah diambil sempena Tahun Baru Cina pada awal tahun ini.


Para pelajar Pra-U SMKTAR juga tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam acara ini sebagai satu cara untuk menyumbangkan markah kepada rumah sukan masing-masing.  Markah tersebut akan dikumpulkan untuk hari Kejohanan Olahraga Tahunan SMKTAR yang akan diadakan pada bulan Julai akan datang.


Selain daripada mengambil bahagian dalam acara larian merentas desa tersebut, para pelajar Pra-U juga telah turut membantu dengan mengadakan acara senaman regangan otot sebelum acara larian diadakan.  Acara regangan itu telah dibuat dalam bentuk tarian yang sangat popular, iaitu Pocho-pocho!  Tahniah sekali lagi para pelajar Pra-U SMKTAR!



Majlis Persaraan Pengetua


SMK Tuanku Abdul Rahman telah kehilangan seorang Pengetua yang sangat berwibawa, apabila pada pada 27hb Februari 2012, yang lalu, Pn Hjh Sakdiah bt Salleh telah bersara wajib.  Oleh kerana persaraan beliau itu jatuh pada hari Isnin, maka satu majlis yang agak gilang-gemilang telah diadakan.


Sepertimana majlsi persaraan Pn Siti Marzian sebelum ini, para pelajar telah mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan bakat terpendam masing-masing termasuklah pelajar Pra-U SMKTAR.  Setiap kumpulan yang mengadakan persembahan telah menampilkan dua item memandangkan waktu sekolah berakhir pada jam 2.40 petang.

Majlis gembira-ria ini, penulis melihatnya sebagai sebuah ironi, kerana dalam pada kita bersedih kehilangan seorang Pengetua yang banyak menyumbangkan kepada pembangunan sekolah, para pelajar berseronok menari dan menyanyi atas kehilangan itu!

Mungkin di masa hadapan, acara-acara yang lebih sesuai dengan tema persaraan perlu ditampilkan.  Manakala acara nyanyian dan tarian dikhususkan untuk majlis yang berkaitan sahaja.

Galeri Sejarah TBS


Pada 15hb Februari 2012, Kelab Sains Sosial Pra-U SMKTAR telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Galeri Sejarah SMK Tunku Besar, Tampin.  Lawatan yang telah diiringi oleh guru penasihat Kelab tersebut, Pn Siti Helena bt Malawi, telah disertai oleh hampir 20 orang ahli kelab tersebut.


Objektif utama lawatan tersebut adalah untuk melihat bagaimana warga SMK Tunku Besar telah mewujud dan membina galeri mereka sehingga menjadi sebuah entiti yang sangat membanggakan.  Lawatan tersebut juga bertujuan untuk menimba ilmu bagi Kelab Sains Sosial umumnya dan Pn Siti Helena khususnya, dalam usaha-usaha yang bakal dilaksanakan bagi mewujudkan galeri SMKTAR sendiri.

Isnin, 27 Februari 2012

Nazam Perpisahan Yang Tak Kesampaian

Se Kilas Pandang


Hari ini, 27hb Februari 2012, merupakan hari terakhir Pn Hjh Sakdiah bt Salleh bertugas sebagai Pengetua di SMK Tuanku Abdul Rahman.  Seperti biasalah kan; banyak acara telah dipersembahkan khususnya oleh para pelajar!  Ada persembahan Cak Lempong lah, ada persembahan tarian kebudayaan India (kalau lebih mejurus ke tarian yang lebih asli lebih bagus!) dan ada tarian kebudayaan Cina (tarian diiringi lagu 'Kung Fu Fighting' tu lagu kebudayaan ke?)

Malah ada pelajar India yang menangis-nangis bila satu persembahan tariannya terpaksa dibatalkan kerana CD yang dibekalkan mengalamai masalah.  Ingatkan dah selesai bila cikgu bertugas kata akan ada hanya satu persembahan tarian India!  Di saat-saat akhir dia beritahu pengacara (saya lah tu!  Siapa lah lagi!) akan ada dua persembahan juga!  Hai!  Pengacara nak menjalankan tugas pun tak senang; asyik kena ganggu saja!  Kena ganggu tak apa lah, asalkan tak kena gangguan!

Apa pun di sini penulis cuma ingin menukilkan Nazam Perpisahan (yang dicipta sendiri lagi tau!) buat Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman (yang kini sudah jadi suri rumah sepenuh masa!) yang asalnya telah diminta untuk dipersembahkan di Dewan sekolah, kemudian semasa jamuan perpisahan di Gemas Golf Resort dan kemudian terus tak jadi (itu tandanya orang tak nak lah tu! Haha!)  Jadinya, oleh kerana tak dapat dipersembahkan secara 'live', di sini penulis dedikasikan Nazam ini dalam bentuk maya (walaupun penulis tahu ia tak akan dibaca oleh orang yang berkenaan! hehe!)

Nazam Perpisahan

Cepatlah sungguh masa berjalan
Empat tahun dan tujuh bulan
Banyaklah sungguh yang diperkenalkan
Semua untuk jadi teladan

Walaupun terasa sakitnya kaki
Bangunan tinggi tetap didaki
Semua murid beliau jejaki
Agar menjadi insan berbakti

Semua tugas sudah digalas
Dengannya jurjur dan juga ikhlas
Tiap yang baik walau se kilas
Semoga Allah memberi balas

Memanglah benar pepatan terbilang
Harimau pergi meninggalkan belang
Manusia pula nama tak hilang
Setiap masa disebut dikenang

Walau masa berganti beralih
Banyak teladan telah diperoleh
Demikian kisah insan terpilih
Pn Hjh Sakdiah bt Salleh

(Nazam dilagukan mengikut irama yang dialunkan oleh Roslan Madun)


Jumaat, 24 Februari 2012

Pentingnya Ketepatan Masa


Se Kilas Pandang

Raptai majlis perpisahan Tuan Pengetua SMKTAR terganggu serba-sedikit siang tadi gara-gara beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan (mungkin?)  Raptai yang sepatutnya bermula pada jam 11.00 pagi tadi telah bermula agak lewat hinggakan melepasi masa 12.20 tengahari, iaitu masa tamat persekolahan.  Mungkin kalau hari lain, iaitu hari-hari Isnin hingga Khamis, tidaklah begitu menggusarkan sangat.  Tetapi hari Jumaat adalah hari untuk kaum lelaki pergi menunaikan solat Jumaat di masjid.

Alangkah beruntungnya kaum lelaki di negeri-negeri yang bercuti pada hari Jumaat.  Mereka dapat rihat secukupnya sebelum ke masjid; dapat mandi sunat Jumaat dan dapat bersiap sebaik-baiknya dengan pakaian yang bersih dan cantik serta memakai wangi-wangian.  Berbeza dengan kami di negeri yang bekerja pada hari Jumaat; yang terpaksa bekerja (ada kalanya bermandi peluh), tidak sempat mandi, tidak sempat mengenakan pakaian yang bersih dan cantik (terus ke masjid dengan pakaian kerja!) dan tidak dapat memakai wangian-wangian (kalau pakai pun, bau peluh lebih kuat!)

Ahad, 5 Februari 2012

Motivasi Maya



Mungkin sudah tiba masanya satu lagi sesi motivasi diberikan kepada para pelajar tingkatan 6 setelah  sesi terakhir mereka pada bulan Julai tahun lalu.   Sudah pasti, perbezaan masa tujuh bulan adalah jangka waktu yang agak lama untuk membiarkan para pelajar tanpa sebarang inisiatif dijalankan untuk membangkitkan kembali semangat belajar mereka.  

Sebagai permulaan bagi sesi motivasi dan kepimpinan yang bakal diadakan nanti (Insya Allah), penulis ingin para pelajar memberi sedikit perhatian kepada deretan gambar kartun di bahagian bawah gambar di atas.  Pada usia yang dianggap 'darah muda' sudah tentulah apa sahaja yang tidak berkenan di hati akan menyebabkan kemarahan, dan penulis sendiri berpendapat bahawa marah itu adalah satu naluri yang perlu,  namun mestilah disalurkan dengan cara yang betul kepada orang tertentu sahaja.  

Bila bercakap tentang belajar, tidak ada satu pun dalam proses menimba ilmu merupakan perkara yang mudah.  Namun demikian, pelajar haruslah optimistik, ditambah dengan usaha dan tawakkal.  Kegagalan yang ditempuhi di awal tahun ini, jangan dijadikan petanda aras untuk peperiksaan yang se benar.  Oleh itu, pelajar dinasihatkan jangan lekas berputus asa.

Iri hati yang positif memang amat digalakkan terutama dalam semangat berlumba-lumba untuk mencapai kejayaan.  

Dan akhir sekali sifat pemaaf.  Penulis sendiri beranggapan memang sukar sekali untuk seseorang menyuarakan perkataan maaf terutama bila sedang sangat marah, lebih-lebih lagi bila telah diperlakukan sesuatu yang tidak baik terhadapnya.  Maaf itu harus timbul juga dari hati dan mulut individu itu, tidak kiralah berapa lama pun masa yang diambil, yang penting maaf itu tetap diucapkan.

Jumaat, 3 Februari 2012

Majlis Persaraan Pn Siti Marzian



Hari ini, Jumaat 3hb Februari 2012 merupakan hari terakhir Pn Siti Marzian bt Mohd Zain sebagai seorang guru dalam profesion pendidikan.  Majlis yang telah dirancang sejak se bulan yang lalu, berjaya dilaksanakan dengan lancar sejak jam 10.00 pagi.  Majlis dimulakan dengan yang diraikan diarak dengan paluan kompang dari kantin sekolah ke Dewan Al-Ghazali.


Ketua pelajar SMK Tuanku Abdul Rahman, saudara Mohd Shazlan bin Mohd Aris telah mendahului pemberi ucapan yang lain, dan telah menyampaikan ucapan terima kasih kepada Pn Siti Marzian bagi pihak para pelajar.  Majlis tersebut juga telah diserikan lagi dengan kehadiran dua orang puteri Pn Siti Marzian serta menantu lelaki beliau.


Acara di Dewan Al-Ghazali diakhiri dengan lambaian kasih oleh para pelajar buat Pn Siti Marzian.  Para pelajar telah membuat dua lorong dan telah mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan beliau.  Beliau kemudiannya telah diiringi menaikki kereta untuk menuju ke majlis jamuan makan tengahari sempena persaraan beliau.