Selasa, 28 Januari 2014

Selamat Tinggal Starbright1969!

Star Q


Ini mungkin merupakan kali terakhir saya menulis untuk blog ini.  Blog yang saya wujudkan khusus untuk mendokumentasikan segala aktiviti tentang pra-universiti SMK Tuanku Abdul Rahman yang amat saya sayangi ini, tidak dapat saya sumbangkan sebarang nukilan lagi selepas ini.

Blog yang saya wujudkan sejak tahun 2011 dulu, telah banyak merangkum peristiwa-peristiwa pahit dan manis warga pra-universiti samada dalam kalangan para pelajarnya mahu pun tenaga pengajarnya.

Kepada semua para pelajar pra-universiti samada yang telah saya didik atau pun tidak, sejak dari dulu hinggalah kepada kumpulan 2013/2014, sentiasalah berusaha untuk mencapai yang terbaik yang anda semua inginkan tanpa mengorbankan identiti dan nilai murni diri anda semua.

Kepada rakan-rakan seperjuangan tenaga pengajar pra-universiti yang telah menjadi adik-adik saya sejak dari tahun 1999 ketika tingkatan enam mula diwujudkan di sekolah ini sehinggalah sekarang, saya rangkaikan ucapan terima kasih atas segala kasih sayang yang telah anda semua berikan.  Saya kalungkan juga rasa besar hati saya kerana Allah telah mempertemukan saya dengan rakan-rakan seperjuangan yang baik serta mempunyai semangat kerjasama yang tinggi seperti anda semua.

Semoga semangat perjuangan yang baik dan kerjasama yang tinggi itu diteruskan lagi, demi anak-anak pra-universiti yang bakal anda semua lahir.

Buat rakan-rakan tenaga pengajar dan juga para pelajar pra-universiti SMKTAR, sebagai menyimpul bicara, saya mohon segala kemaafan dari anda semua atas segala kesilapan tutur kata dan laku yang mungkin telah saya lakukan selama ini.  Sudi-sudikanlah membuka semula simpul bicara ini bila masa kita bertemu lagi di masa hadapan demi menyambung silatulrahim yang sudah sedia terjalin, In syaa Allah.

Jika Allah mengizinkan, saya akan bersama lagi dengan rakan-rakan tenaga pengajar untuk turut serta membimbing pelajar-pelajar pra-universiti di masa akan datang, In syaa Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan