Selasa, 22 November 2011

Jangan Lupa Pengenalan Diri!

Jangan Lupa Bawa Pengenalan Diri!

Hari ini, 23hb November 2011, merupakan hari kedua Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia berlangsung.  Entri ini dibuat sebelah petang sewaktu kertas Bahasa Melayu 2 (Esei) baru sahaja setengah jam dimulakan.  Ketika ini penulis berada di sekolah sebagai guru bertugas pada sebelah petang dan akan berada di sini sehingga jam 4.30 petang.

Suka diingatkan kepada semua pelajar tingkatan enam yang menduduki peperiksaan ini agar tidak lupa membawa dokumen-dokumen penting sewaktu hadir untuk peperiksaan, termasuklah Kad Pengenalan dan Slip Peperiksaan.  Kebetulan petang ini seorang calon terlupa membawa Slip Peperiksaan beliau. 

Mujurlah Surat Pengesahan Pelajar yang perlu diambil di pejabat bagi menggantikan dokumen diri yang terlupa dibawa, sudah siap ditandatangani oleh pihak pentadbir.  Pelajar yang tidak atau terlupa membawa pengenalan diri hanya perlu mengisi ruang kosong yang berkenaan pada surat pengesahan tersebut.

Esok kumpulan pelajar yang sama pada hari ini akan mengambil Kertas Sejarah 1 (Tamadun Dunia hingga Tahun 1800) pula.  Kepada anda dan rakan-rakan lain, seperti selalu yang saya doakan, selamat berjaya.




Isnin, 21 November 2011

Jamuan Perpisahan PERTINAM


Perpisahan memang sesuatu yang menyedihkan, apa lagi setelah guru-guru tingkatan enam SMKTAR menjalinkan silatulrahim dengan para pelajar ambilan 2010/2011; hubungan yang erat sehinggakan boleh diibaratkan antara ibu-bapa dan anak-anak atau ada di antaranya antara adik-adik dan kakak.

Sebagai tanda memperingati hubungan itu maka PERTINAM 2010/2011 telah mengadakan satu jamuan perpisahan pada hari Selasa, 15hb November 2011, seminggu sebelum mereka menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan mereka.

Kepada para guru dan pelajar tingkatan enam, maaflah kerana mengambil masa agak lama untuk memuat-naik acara ini kerana menantikan foto-foto jamuan perpisahan yang tidak kunjung menjelma.  Justeru sebelum terlupa, nukilan tentang majlis ini dituliskan jua walau pun sekadar dihias gambar cenderahati majlis tersebut yang dihadiahkan kepada semua yang hadir.

Terima kasih kepada para pelajar tingkatan enam ambilan 2010/2011.

Ahad, 20 November 2011

STPM 2011 : Semoga Beroleh Kejayaan!

Kertas Pengajian Am merupakan kertas pertama yang diambil oleh pelajar tingkatan enam kumpulan 2010/2011 hari ini, yang juga merupakan hari pertama peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia yang akan berjalan dari 21hb November 2011 hingga 14hb Disember 2011.  Seramai tujuh puluh empat pelajar kami menduduki peperiksaan ini yang merupakan satu lagi usaha yang harus mereka tempuhi untuk mendekatkan diri ke pengajian di menara gading.

Bagi kumpulan pelajar ini, walaupun mereka sebenarnya tidaklah banyak bezanya daripada pelajar-pelajar sebelum mereka, saya dengan yakin boleh mengatakan bahawa terlalu ramai orang yang menaruh harapan yang tinggi terhadap mereka.  Dari ibu-bapa mereka (tentu sekali) kepada guru-guru mereka (sudah pasti) hinggalah kepada bekas guru yang pernah mengajar mereka di sekolah lama mereka dahulu; semuanya menghimpun satu doa untuk mereka iaitu agar mereka berjaya dalam peperiksaan ini.

Saya secara peribadi sukar untuk mencari di mana letaknya aura para pelajar ini sehinggakan ramai guru mereka, boleh saya katakan, suka kepada mereka.  Jangan salah anggap pula kerana dalam kumpulan yang besar seperti mereka ini, sudah tentu ada seorang dua yang menjadi duri dalam daging yang sentiasa menyakitkan guru, mungkin sampai ada yang terluka!

Apa yang saya dapat lihat, para pelajar kumpulan 2010/2011 ini ada aura mereka sendiri yang sukar untuk dinafikan.  Cukup sekadar saya menyatakan yang kamu semua tahu apa yang saya maksudkan.  Dan juga, cukup sekadar doa yang saya dan guru-guru kamu yang lainnya pohon untuk kejayaan kamu semua.  Semoga segala usaha yang guru-guru dan kamu gembelingkan, beroleh keberkatan, Insya Allah.


Jumaat, 4 November 2011

Merenung Bintang!


Tidak ramai yang mendapat peluang untuk menggunakan teleskop untuk menjejak bintang-bintang yang bertaburan di langit yang luas.  Peluang yang datang untuk menyertai Seminar Star-Gazing Peringkat Kebangsaan di SBP Integrasi Jempol pada 3hb November 2011 tidak dilepaskan begitu sahaja.

Empat orang pelajar Tingkatan 6 termasuklah Syazlan Mohd Aris dan Sulaiman Abdul Rahman, telah menyertai seminar itu dengan diiringi oleh guru Geografi Tingkatan 6 yang sangat dedikasi, Pn Norasyikin Mohd Aris.  

Walaupun program tersebut tidak sedikit pun dibiayai oleh pihak sekolah, Pn Norasyikin dengan inisiatifnya sendiri telah membawa pelajar-pelajar berkenaan dengan menggunakan kereta beliau sendiri dengan biaya sendiri.  Tahniah kepada beliau kerana telah membolehkan keempat-empat pelajar tersebut memperolehi peluang untuk meningkatkan jumlah markah kokurikulum mereka dengan adanya aktiviti peringkat kebangsaan ini.  Tahniah sekali lagi.

Sabtu, 8 Oktober 2011

Sayang Cikgu


Pada 7hb Oktober 2011 yang lalu telah diadakan majlis persaraan untuk Tn. Hj. Mazlan bin Abu Zaharin, Guru Penolong Kanan Akademik SMK Tuanku Abdul Rahman.  Beliau telah berkhidmat di sekolah ini lebih dari dua puluh tahun dan wajarlah sebuah majlis seperti ini diadakan untuk beliau.


Beberapa acara telah diadakan sempena majlis ini termasuklah beberapa buah persembahan oleh para pelajar tingkatan 6.  Paling istimewa, satu persembahan sajak berlagu yang ditujukan khusus kepada Tn. Hj. Mazlan yang telah disampaikan oleh kesemua pelajar dari kelas Tingkatan 6 Atas SKP.


Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama pelajar tingkatan 6 Atas SKP dan Tn. Hj. Mazlan, diikuti dengan sesi maaf-bermaafan sesama pelajar dan guru mereka yang bersara.  Begitu ketara sekali kesan yang ditinggalkan oleh Tn Hj Mazlan kepada pelajar-pelajar tingkatan 6 beliau sehingga ada yang menitis air mata tidak dapat menahan rasa sebak.

Kami guru-guru tingkatan 6 bagi pihak para pelajar tingkatan 6 mendoakan agar Tn. Hj. Mazlan akan sentiasa dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan oleh Allah s.w.t. dalam menjalani hidup sebagai seorang bekas guru yang telah banyak meninggalkan jasa.  Amin.


Khamis, 29 September 2011

Pertandingan Melukis Banner


Kesibukan yang telah mengambil sebahagian besar masa penulis, telah menyebabkan banyak aktiviti pelajar tingkatan 6 tidak dapat dirakam dalam blog ini.  Justeru itu, penulis mohon maaf kepada mana-mana pelajar tingkatan 6 di mana aktiviti yang telah mereka sertai tidak diabadikan dalam ruangan ini.


Pada 7hb September 2011, beberap orang pelajar tingkatan 6 telah mengambil bahagian dalam pertandingan Melukis Banner dalam Bahasa Inggeris yang diadakan sempena minggu Pendidikan Seni Visual.  Sememangnya pelajar telah menggunakan kesempatan ini untuk meluahkan bakat seni dan juga sifat keanak-anakan mereka dengan begitu terserlah sekali.


Beberapa orang guru jugak tidak ketinggalan mengambil bahagian dalam Pertandingan Mewarna yang telah diadakan khas untuk mereka.  Tahniah kepada guru-guru ini yang bukan sahaja mempamerkan bakat mereka tetapi tidak segan untuk berada dalam kalangan pelajar untuk sama-sama menjayakan minggu tersebut.



Khamis, 14 Julai 2011

Taklimat Kajian Tindakan Bhgn 1

Pelajar Tingkatan 6 Bawah mendengar taklimat R&D

Pada 6hb Julai empat orang guru Tingkatan 6 SMKTAR telah menghadiri Kursus Profesionalisme untuk guru-guru T6 bagi menambah dan memantapkan pengetahuan mereka tentang Folio-folio yang perlu disediakan oleh mereka, termasuklah Folio Kajian Tindakan.

Sehubungan dengan itu, Pn. Norasyikin Mohd Aris yang merupakan salah seorang guru yang telah menghadiri kursus tersebut telah mengambil inisiatif untuk memberi taklimat tentang Asas-asas Kajian Tindakan kepada para pelajar Tingkatan 6 Bawah pada jam 9.40 pagi 13hb Julai 2011, sebelum mereka mula membuat Proposal.

Bahagian kedua taklimat ini akan diadakan pada masa yang sama minggu hadapan pada 20hb Julai 2011.