Jumaat, 29 April 2011

Kem Kepimpinan


Pada 9hb April 2011 yang lalu, seramai empat orang pelajar Tingkatan 6 SMK Tuanku Abdul Rahman telah menyertai Kem Kepimpinan khusus untuk pelajar tingkatan 6 yang telah di adakan di Sekolah Menengah King George ke V, Seremban, Negeri Sembilan.


Oleh kerana pihak penganjur hanya menyediakan tempat untuk empat orang pelajar bagi setiap sekolah yang ingin mengambil bahagian, pemilihan terpaksa dibuat berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.  Setelah pengumuman tentang kem ini dibuat, 2 orang pelajar dari 6SKP, 1 orang dari 6GEP dan 1 orang dari 6SBP telah terpilih.



Oleh kerana kem ini diadakan pada hari Sabtu yang merupakan hari sekolah ganti untuk cuti Deepavali nanti, maka pihak pentadbir sekolah hanya membenarkan seorang sahaja menyertai pelajar sebagai guru pengiring.  Pn. Marshida bt Abdul Rahman telah bertindak sebagai guru pengiring kerana kebetulan dalam program kem kepimpinan tersebut terdapat satu 'slot' untuk guru 'Kajian Tindakan' sekolah-sekolah yang menyertai.

Rabu, 27 April 2011

Seminggu Selepas Tiada Ko-Kurikulum

Pn. Hjh. Mariya menunggu ahli Pengakap

Setelah aktiviti ko-kurikulum dibatalkan atas arahan Guru Penolong Kanan Tingkatan 6 pada minggu lepas, aktiviti-aktiviti berkaitan diteruskan lagi pada minggu ini.  Aktiviti seperti biasa, dimulakan dengan aktiviti Unit Beruniform.  Mungkin kerana faktor cuaca atau setelah direhatkan pada minggu lepas, para pelajar agak lewat untuk menyertai aktiviti yang sepatutnya bermula pada pukul 2.30 petang.  Namun, walaupun waktu telah menunjukkan pukul 3.00 petang, ini lah bilangan ahli Pengakap yang ada pada ketika itu, sambil dinantikan oleh guru penasihat, Pn. Hjh Mariya bt Ismaon.

Pn. Zaini mengendalikan aktiviti Senamrobik

Memandangkan bilangan kehadiran yang kecil disebabkan ketidak-hadiran beberapa orang pelajar dan juga pada masa yang sama Pn Zubaidah bt Mohd Said menjalankan Pertandingan Catur Terbuka Pusingan kedua, maka Pn. Zaini bt Yusop mencadangkan agar, untuk aktiviti Sukan dan Permainan digabungkan semua pelajar untuk menjalankan aktiviti senamrobik.


Pelajar lelaki pun turut serta!

Walau pun pada mulanya para pelajar agak malu melakukan aktiviti senamrobik, namun setelah ada beberapa orang pelajar yang mulakan, maka pelajar lain dengan spontan turut serta.  Tahniah kepada Pn. Zaini kerana berjaya mengadakan aktiviti senamrobik.  Lain kali boleh adakan lagi, dan kita libatkan sekali guru-guru Tingkatan 6.

Rabu, 20 April 2011

Khidmat Masyarakat 2011

Minggu ini pada 19/4/11 dan 20/4/11, pelajar tingkatan 6 menjalani program Khidmat Masyarakat yang termasuk dalam sukatan mata pelajaran mereka.  Sebanyak 6 kumpulan, setiap satu terdiri daripada dua belas orang pelajar, dibentuk untuk menjalankan program motivasi di sekolah-sekolah rendah di sekitar Gemas.

Sekolah-sekolah yang terlibat dalam program ini termasuklah SK Ladang, SK Tuanku Abdul Rahman, SK Gemas, SK Jelai 2 dan SK Air Kuning.  Antara aktiviti dalam program ini ialah memberitahu murid-murid Tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini tentang cara-cara belajar yang betul, cara mengingat apa yang dipelajari dan cara mengagih masa.

Program ini telah mula digerakkan sejak tahun lepas dan diharapkan program-program lain dapat dilaksanakan untuk mempelbagaikan khidmat yang hendak disumbangkan kepada masyarakat.

Sabtu, 9 April 2011

Pra-Program Khidmat Masyarakat 2011

Sebahagian pelajar menjalankan aktiviti simulasi
Hari ini Sabtu 9hb April 2011, merupakan sekolah ganti sempena cuti Deepavali nanti dan mengikut jadual hari Isnin.  Untuk pelajar tingkatan 6 satu sesi Pra-Program Khidmat Masyarakat telah diadakan dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.  Sesi ini adalah sebagai persediaan untuk mereka menghadapi program yang sebenar yang akan dijalankan pada 20hb April 2011 minggu hadapan.

Pelajar yang berlakon menjadi pelajar sekolah rendah!
Sesi ini diadakan agar para pelajar lebih bersedia bila berhadapan dengan klien mereka sewaktu program tersebut.  Pada waktu ko-kurikulum minggu hadapan, semua pelajar dan guru tingkatan 6 akan keluar untuk menjalankan program ini.

Isnin, 4 April 2011

MUET Pertengahan Tahun 2011

Entri ini sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan ko-kurikulum tetapi saya merasakan perlu menggunakan ruang ini untuk mengucapkan selamat menempuh Ujian MUET kepada semua pelajar Tingkatan 6 Atas 2010/11 dan semoga mendapat keputusan yang seperti anda sekelian idam-idamkan.

Entri ini saya buat bukan sahaja kerana sebab di atas, tetapi selain daripada terlibat dalam ko-kurikulum, saya juga mengajar pelajar-pelajar ini subjek MUET.  Jadi memang tepat lah kalau saya menggunakan ruang ini untuk mengucap selamat kepada pelajar-pelajar saya.

Pesanan saya, gunakanlah segala ilmu yang telah saya berikan selama hampir setahun yang lalu dengan bersungguh-sungguh.  Saya telah lakukan segala yang terdaya untuk kamu semua dan saya telah halalkan segala ilmu yang saya berikan itu.  Semoga semua itu diberkati!