Selasa, 31 Mei 2011

Perkhemahan Pengakap SRK Pasir Besar


Sekolah Rendah Pasir Besar telah mengadakan perkhemahan untuk pasukan Pengakap dari 27hb Mei 2011 hingga 29hb Mei 2011, ia itu sebaik sahaja cuti persekolahan semester pertama bermula.


Guru Penasihat Pengakap untuk sekolah tersebut telah meminta jasa baik Pengakap Kelana SMK Tuanku Abdul Rahman untuk menjadi fasilitator dan membantu dalam mengendalikan aktiviti-aktiviti semasa perkhemahan tersebut.


Pn Norasyikin bt Mohd Aris yang merupakan guru penasihat Pengakap Kelana untuk tingkatan 6 di SMK Tuanku Abdul Rahman telah bertindak menyelia dan menyelaraskan penglibatan Pengakap Kelana Tingkatan 6 tersebut, termasuklah dari segi pengangkutan, makanan dan surat kebenaran penjaga.



Berdasarkan gambar-gambar yang tertera dalam laman ini, jelas sekali bukan sahaja murid-murid SRK Pasir Besar yang telah mendapat menafaat dari perkhemahan tersebut, malah Pengkap Kelana Tingkatan 6 SMKTAR juga turut melibatkan diri sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan.

Tahniah kepada Pn Norasyikin, pelajar-pelajar Tingkatan 6 yang telah menjadi fasilitator dalam perkhemahan dan tidak lupa juga terima kasih kepada guru penasihat Pengakap SRK  Pasir Besar kerana turut melibatkan pelajar kami.

Ahad, 22 Mei 2011

Pesta Muzik Sekolah-Sekolah Negeri Sembilan 2011


SMK Tuanku Abdul Rahman sekali lagi dipilih untuk menjadi tuan rumah dan mengelolakan satu acara yang besar ia itu Pesta Muzik Sekolah-sekolah (Rendah dan Menengah) Negeri Sembilan 2011.  Satu tugasan yang amat besar selain baru-baru ini telah menjadi tuan rumah untuk beberapa acara peringkat daerah.


Pesta Muzik yang telah dijalankan selama dua hari dari 18hb Mei 2011 hingga 19hb Mei 2011 telah secara tidak langsung berjaya meletakkan SMK Tuanku Abdul Rahman setaraf dengan sekolah-sekolah lain khususnya dalam penganjuran aktiviti berskala besar seperti ini.



Adalah mustahil untuk sesebuah sekolah mengendalikan acara sebesar ini tanpa penglibatan semua pihak yang berada di sekolah samada dari kalangan guru atau staf sokongan, dan tidak ketinggalan dari kalangan pelajar Tingkatan 6 juga.



Saya, secara peribadi, ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pelajar Tingkatan 6 yang telah sama-sama bertungkus-lumus untuk menjayakan program yang sebegini besar.  Jasa anda tetap akan dikenang.  Insya Allah sijil akan menyusul.


Selasa, 17 Mei 2011

Hari Guru SMKTAR



Seperti semua sekolah di Malaysia, malah di dunia mungkin, SMK Tuanku Abdul Rahman turut meraikan guru-gurunya dalam sambutan Hari Guru 2011 pada tanggal 16hb Mei baru-baru ini. Walau pun video yang dilampirkan ini bukanlah video sambutan Hari Guru tahun ini, namun ia mungkin dapat memberikan gambaran suasana sekolah SMKTAR kepada pengunjung blog ini. Video ini telah dimuatnaikkan ke Youtube oleh salah seorang guru Tingkatan 6 SMKTAR iaitu Pn. Norasyikin bt Aris, yang sememangnya sangat aktif dalam bidang ini termasuk fotografi. Kepada pengunjung blog ini, nikmatilah video yang dihasilkan oleh beliau.

Selasa, 10 Mei 2011

Peperiksaan Pertengahan Tahun 2011

Pelajar 6SKP (Atas) sedang tekun menjawab

Pada 10hb Mei 2011, para pelajar Tingkatan 6 Atas mula menduduki peperiksaan pertengahan tahun.  Hari pertama peperiksaan dimulakan dengan kertas Pengajian Am kertas 1.  Sepatutnya, peperiksaan ini telah pun dimulakan pada hari sebelumnya iaitu, 9hb Mei 2011.  Namun, ianya terpaksa ditunda sehari kerana pada hari tersebut pelajar Tingkatan 6 Rendah mula mendaftarkan diri di sekolah ini untuk pertama kali.

Peperiksaan pertengahan tahun yang sedang diduduki oleh pelajar Tingkatan 6 Atas ini, dan akan berakhir pada hari Jumaat ini, seharusnya dapat dijadikan kayu pengukur oleh para pelajar untuk meletakkan sasaran dalam peperiksaan percubaan STPM mereka yang kemungkinan besar akan diadakan pada bulan September nanti, sekali gus membolehkan mereka melipatgandakan usaha untuk mendapat keputusan STPM yang terbaik.

Apa pun, para guru tidak lupa mendoakan agar semua pelajar tingkatan 6 atas ini berjaya.  Jadi berusahalah bersungguh-sungguh untuk mendapat kejayaan itu.

Isnin, 9 Mei 2011

Form 6 - 2011/2012! Welcome to STAR!


Hari ini merupakan hari pertama pelajar-pelajar baru tingkatan 6 mendaftarkan diri untuk sesi persekolahan 2011/2011.  Gambar di atas menunjukkan guru-guru yang bertugas semasa pendaftaran yang dijalankan pada jam 9.00 pagi, 9hb Mei 2011.  Guru-guru yang bertugas termasuklah Pn Zaini bt Mohd Yusop, Pn Siti Helena binti Malawi dan Pn Hjh. Mariya bt Ismaon.


Mengikut makluman terkini dari pihak Kaunseling SMK Tuanku Abdul Rahman, seramai 62 orang telah mendaftar untuk memasukki tingkatan 6.  Jumlah ini adalah kurang dari lima puluh peratus bilangan pelajar yang nama mereka disenaraikan ke SMK Tuanku Abdul Rahman.  Angka yang dikirimkan oleh JPNS ialah seramai 200 orang.


Para pelajar yang mendaftar diminta membawa salinan-salinan sijil mereka, termasuklah sijil keputusan SPM dan sijil Kokurikulum mereka sewaktu tingkatan 5.


Pengetua SMK Tuanku Abdul Rahman semasa mengalu-alukan kedatangan pelajar baru tingkatan 6, mengingkan mereka bahawa, walaupun mereka asalnya pelajar SMK Gemas, SMK Bukit Jalor, SMK Pasir Besar atau pun SMK Jelai (Felda), mereka kini harus merasa bangga dan menganggap diri mereka kini sebagai pelajar SMK Tuanku Abdul Rahman.

Untuk mereka, sekali selamat datang ke STAR dan semoga anda memberi sumbangan bermakna ke sekolah anda dan akan berjaya di dalam apa yang anda cita-citakan, khususnya STPM yang akan anda duduki tahun hadapan!